top of page
Search

AHMAD BERJAYA SEBAGAI PETANI SEPARUH MASA

  • Writer: Admin
    Admin
  • Jan 4, 2018
  • 3 min read


Ahmad bangga dan yakin dengan hasil cili merah yang diusahakan di Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian tetapi tindakan Ahmad Yahya, 38, untuk menjadi usahawan tani separuh masa sedikit sebanyak dapat menepis anggapan masyarakat terhadap bidang pertanian. Mendapat ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Malaysia, Ahmad mula mengusahakan lading sayurnya secara separuh masa sejak awal 2008 di atas tanah yang dipajak dari kampung seluas enam ekar di Kampung  Perian, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.

Menceritakan pahit getir bergelumang dalam bidang pertanian khususnya penanaman sayur secara konversional selama satu tahun. Ahmad berkata, mereka yang mahu bergiat dalam bidang ini perlu mempunyai semangat yang kuat.


“Dalam tempoh setahun ini dua kali saya terasa amat putus asa dan berfikir untuk mengalah dan meninggalkan segalanya. Tetapi pihak pembekal benih, pembekal racun dan baja serta pemborong dan rakan-rakan banyak memberi khidmat nasihat dan galakan kepada saya sehingga saya ke peringkat sekarang.” Katanya semasa ditemui di ladangnya di Pulau Tawar, Jerantut Pahang, baru-baru ini.


Ahmad melahirkan rasa terharu dengan syarikat-syarikat pembekal benih dan racun yang banyak memberikan galakan walaupun beliau mengalami pelbagai masalah ketika itu. Galakan dan sokongan daripada ahli keluarga dan rakan terutama ibu sentiasa menjadi pendorong untuk terus berjaya. setelah berjaya mengharungi pahit maung dalam bidang pertanian, kini beliau yang telah , menyewa 10 ekar lagi tanah di sebelah ladang sekarang untuk menanam tanaman berpara seperti terung bulat, bendi dan cili.


Bermula dengan menanam cili kini Ahmad mula melangkah kepada penanaman sayur lain pula. Mengaplikasikan kepakarannya dalam kejuruteraan dalam pertanian, Ahmad banyak mengumpul data-data hasil ladangnya.


“Data yang saya dapati, saya bandingkan dengan data daripada MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan Jabatan Pertanian dan FAMA dan rakan-rakan dalam bidang yang sama. Jika terdapat perbezaan ketara, saya akan cuba mencari puncanya. Setiap pagi saya akan meninjau kebun dan melihat apa yang tidak kena sama ada serangga, virus atau bakteria,” katanya.


Dengan cara ini, Ahmad dapat mengetahui lebih lanjut mengenai makhluk perosak serta racun perosak yang sesuai digunakan. Memegang pepatah Inggeris yang bermaksud, “tidak mengumpulkan telur dalam satu bakul”, Ahmad mengusahakan pelbagai jenis tanaman sebagai persediaan jika sesuatu berlaku pada satu-satu tanamannya. Ini juga merupakan satu langkah supaya pendapatannya berterusan sementara menunggu tanaman lain mengeluarkan hasil.


“Bagi saya pertanian adalah satu perniagaan,” katanya yang memulakan pertanian menggunakan modal daripada simpanannya sendiri. Baginya setiap tanaman mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri misalnya bendi dikatakan tanaman paling mudah ditanam tetapi harganya pula agak murah. Cili merah yang mempunyai harga yang tinggi tetapi penjagaannya yang agak sukar dan memerlukan tenaga buruh yang ramai bagi tujuan memetik.


Ahmad juga menjalankan strategi merekodkan dan mengumpul semua harga sayuran di pasaran bagi membolehkannya memantau harga di masa akan datang. “Mainan harga sudah menjadi asam garam hidup sehingga saya mengambil inisiatif memantau dan merekodkan harga sayuran setiap hari. Ini bagi memastikan saya boleh mendapatkan tanda aras harga setiap sayuran dan boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan,” katanya yang bercita-cita membesarkan lagi ladang sayurnya.


Menjalankan trial dan error dalam pertanian selama setahun menjadikan Ahmad lebih matang dalam mengharungi industri tanaman. Beliau yang amat peka dengan apa yang berlaku di ladangnya tidak pernah memohon mana-mana pinjaman selama membuka ladang sayur-sayuran. “Sejak awal saya mengeluarkan wang poket sendiri untuk menguruskan ladang ini dan saya masih belum menganggap diri saya berjaya. Saya berharap suatu hari nanti, pekebun sayur akan dapat hidup mewah dengan hasil jualan sayur mereka,” katanya.

 
 
 

Recent Posts

See All

Commentaires


©  by Kerjaya Agrolinx

JUMLAH PELAWAT

bottom of page